Penyakit Kaki, Tangan Dan Mulut ( HFMD ) : Kenali dan Langkah-langkah Pencegahan Mengatasinya | Selepas puas beraya awal bulan Mei lalu, kini kita dikejutkan dengan kes penyakit kaki, tangan dan mulut ( HFMD ) di kalangan kanak-kanak bawah tujuh tahun melonjak tinggi hingga banyak taska terpaksa ditutup termasuk taska di UITM Shah Alam ini bagi mengekang penularannya huhuhu
Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia ( KKM ) , sehingga semalam kes HFMD di Selangor sahaja menyumbang sebanyak 13,640 kes peningkatan lebih 20 kali ganda antara Januari hingga 21 Mei 2022 berbanding tempoh sama tahun lalu.
Kenali HFMD
HFMD adalah singkatan kepada Hand, Foot and Mouth Disease ( Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut ). Ianya berpunca dari virus yang dikenali sebagai enterovirus meliputi Coxsackie Virus A16 ( Cox A16 ) dan Enterovirus 71 ( EV71 )
Bagaimana HFMD Berjangkit?
Penularan penyakit HFMD ini adalah melalui sentuhan langsung dengan cecair hidung, air liur, lepuh ( blister ) dan najis kanak-kanak yang dijangkiti serta sentuhan pada permukaan dan alatan mainan yang tercemar dengan virus HFMD
Tempoh Jangkitan
Tempoh inkubasi adalah antara 3-5 hari dan masa paling berisiko untuk menjangkiti orang lain adalah ketika sebelum dan selepas gejala timbul. Kanak-kanak yang dijangkiti boleh menjadi punca jangkitan sehingga ruamnya kering.
Majoriti kes alami gejala HFMD yang ringan dan boleh sembuh dalam masa 5-7 hari.
Gejala HFMD
- demam tidak melebihi 38 darjah celcius
- ruam yang melepuh pada tapak tangan, tapak kaki dan ulcer di dalam mulut
- jangkitan pada saluran pernafasan
- muntah, cirit-birit
- kurang selera makan
Siapa Yang Berisiko Mendapat Jangkitan HFMD
HFMD boleh menjangkiti sesiapa saja namun kanak-kanak berusia 10 tahun ke bawah lebih mudah dijangkiti disebabkan sistem imun mereka yang masih lemah. Mereka juga berisiko mendapat jangkitan berulang disebabkan oleh virus yang sama.
Apa Yang Perlu Dilakukan Bila Anak Menunjukkan Simptom HFMD?
- Berikan ubat seperti syrup paracetamol untuk demam
- Sediakan ubat semburan mulut seperti Diffalam Spray atau Aloclair Plus Spray untuk redakan ulcer dalam mulut
- Banyakkan minum air kosong
- Beli hidangan sejuk dan lembut seperti aiskrim vanila, yogurt, jeli atau smoothie untuk melegakan ulcer dalam mulut.
- Boleh sediakan sup atau bubur untuk galak anak makan
Langkah-langkah Pencegahan Yang Perlu Diambil Oleh Ibu Bapa
1. Amalkan mencuci tangan secara konsisten menggunakan air bersih dan sabun sebelum menyediakan makanan, selepas keluar tandas, selepas menukar lampin dan mencuci najis
2. Elakkan berkongsi tuala, pakaian, perkakas makanan dan mainan.
3. Disinfeksi atau nyahkuman alat mainan, kerusi dan meja yang tercemar dengan air liur anak
4. Orang ramai terutama ibubapa dinasihatkan tidak bawa anak kecil ke tempat berisiko penularan HFMD seperti taman permainan awam.
5. Ibu bapa atau penjaga perlu membawa anak yang ada gejala HFMD ke fasiliti kesihatan terdekat untuk mendapatkan rawatan dan elak hantar ke taska atau rumah pengasuh.
1 Comments
Sekarang nie macam ramai dah anak-anak yang berjangkit kan penyakit nie. Terima kasih juga kongsi entri nie.. bagus untuk info bersama..
ReplyDeleteTerima kasih sudi singgah dan tinggalkan komen blog kak shima. InsyaAllah kunjung balas akan menyusul nanti :)